Kaunseling
adalah satu proses pertolongan yang profesional bertujuan membantu individu untuk
memahami diri dan dunia persekitarannya. Kaunselor adalah individu yang akan
mengendalikan proses kaunseling.
Kaunselor ini adalah profesional dan mempunyai kelayakan dalam bidang kaunseling. Individu yang bakal dibantu dikenali sebagai
klien. Proses kaunseling akan menggunakan
kaedah perbualan secara bersemuka di antara kaunselor dengan klien. Perbualan
ini mempunyai struktur dan juga bermatlamat. Kaunselor akan menggunakan kemahiran-kemahiran
asas kaunseling akan di dalam perbualan berstruktur ini. Sesi perbualan ini pada
kebiasaannya berlaku lebih daripada sekali atau bersiri. Kekerapan ini
bergantung dengan isu atau masalah yang dikongsi oleh klien bersama dengan
kaunselor. Tahap-tahap tertentu akan
dilalui di dalam perbualan ini di dalam proses kaunseling. Masalah klien
dijangka dapat diselesaikan melalui temubual bersiri ini.
Bilangan individu yang
terlibat di dalam proses kaunseling adalag bergantung kepada jenis kaunseling
yang dijalankan. Dua orang akan terlibat di dalam kaunseling individu dan lebih
daripada dua orang dalam kaunseling kelompok. Proses penerokaan, mengenalpasti
masalah dan jalan penyelesaiannya akan berlaku di dalam sesi. Proses mengenalpasti
masalah dan penyelesaiannya biasanya ada berkaitan dengan masalah dalam
kehidupan harian termasuk hal-hal keluarga dan pekerjaan klien. Walau
bagaimanapun isu yang ditangani di dalam kaunseling tidak semestinya masalah.
Dalam kaunseling pengembangan, klien boleh berbincang dengan kaunselor untuk
meningkatkan konsep kendiri yang rendah, meningkatkan kemahiran berkomunikasi
atau kemahiran-kemahiran yang lain.
Kaunseling adalah satu
proses pendidikan kerana klien akan dibimbing untuk memahami dan menemukan
kemampuan diri untuk memperkembangkan potensi dirinya. Proses pembelajaran akan
berlaku di dalam diri klien. Pembelajaran ini pula akan berlaku secara
berterusan sehinggalah klien dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat dan
persekitarannya. Proses yang dilalui adalah mengikuti tahap dan peringkat yang
bersistem. Tahap ini akan menentukan keberkesanan perkhidmatan kaunseling yang
diterima oleh klien.
1.1 Konsep asas bimbingan, kaunseling dan
psikoterapi.
1.1.1 Bimbingan
Konsep bimbingan dengan kaunseling seakan sama namun terdapat perbezaan
di antara ke duanya. Bimbingan merupakan satu proses untuk membantu individu
memahami diri dan persekitarannya. Proses yang dilalui adalah berperingkat
peringkat untuk mencapai matlamat yang ditentukan. Matlamat akhir ialah untuk
mengubah pemikiran, emosi dan tingkahlaku yang lebih positif agar individu
berkenaan memperolehi kesejahteraan di dalam kehidupan mereka.
Dewan Bahasa
dan Pustaka mendefinisikan bimbingan adalah salah satu perbuatan membimbing, memberi
petunjuk, huraian, dll.
Ini bererti
terdapat pihak yang mempunyai kemahiran untuk
memberi pentunjuk dan panduan yang boleh dimanfaatkan oleh seseorang.
Kaedah membimbing ini boleh jadi dalam bentuk menghurai kepada sesuatu
permasalahan sehinggalah orang yang dibimbing memperolehi jalan penyelesaian.
Nasihat juga menrupakan elemen yang ada dalam proses tersebut.
Sementara Shertzer & Stone (1992) pula menyatakan bahawa bimbingan
merupakan suatu
proses yang membantu individu memahami diri mereka dan dunia mereka. Ini
bererti individu akan diberi bimbingan untuk mengenali diri individu dalam
pelbagai aspek. Individu yang memahami kekuatan dan kelemahan diri akan
menjadikan individu lebih menerima dirinya sendiri. Ini akan menghindarkan
individu tersebut mengalami konflik diri. Ia juga akan membantu individu untuk
berinteraksi dengan persekitaran dengan lebih harmoni.
Bimbingan pula
adalah merupakan suatu proses untuk membantu individu membuat keputusan penting
dalam kehidupan klien. Bimbingan juga melibatkan proses yang melibatkan
tindakan-tindakan atau langkah-langkah untuk mencapai matlamat klien. Kaunselor
akan memainkan peranan seperti yang sepatutnya dimulai dengan langkah pembentukan
atau penjelasan matlamat klien. Klien
juga dibantu untuk mencari jalan bagaimana menentukan tindakan yang sepatutnya diambilnya
pada masa sekarang dan masa hadapan.
1.1.2 Kaunseling
Kaunseling pula
adalah suatu proses pertolongan yang lebih menumpukan perhatian kepada membantu
individu mengatasi kebuntuan, kekusutan fikiran untuk meneruskan kehidupan yang
lebih tenteram. Kaunseling memberi
manfaat dalam semua bidang kehidupan seperti dalam bidang pendidikan,
perubatan, agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan kekeluargaan. Ini
adalah kerana kaunseling itu sendiri mampu merentasi bidang-bidang yang
mencakup segala aspek kehidupan manusia.
Menurut kamus
Dewan Bahasa dan Pustaka, kaunseling didefinisikan sebagai suatu proses teratur
yang melibatkan perbincangan rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan
segala usaha mengatasi atau menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat. Sementara
Cormier & Hackney 1987 pula menyatakan
bahawa kaunseling merupakan satu perhubungan menolong di antara seseorang yang
terlatih dan mahir dalam teknik menolong secara pertuturan dan mempunyai
pengetahuan mengenai perlakuan manusia, dengan seseorang yang meminta bantuan sama ada secara sukarela
ataupun paksa.
Dalam Akta Kaunselor 1998 pula mendefinisikan kaunseling sebagai suatu proses
sistematik untuk membantu perhubungan berdasarkan prinsip-prinsip psikologi
yang dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling untuk
mencapai suatu perubahan,kemajuan, dan
penyesuaian yang holistik, baik dan sukarela pada diri klien supaya
perubahan, kemajuan dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien.
Kaunseling
adalah satu proses pertolongan yang dibimbing oleh kaunselor. Bimbingan ini
akan memberikan celik akal kepada klien untuk membuat keputusan sendiri.
Keputusan tersebut adalah bermatlamat agar klien dapat memperbaiki diri dari
aspek yang lemah ke arah perubahan yang lebih positif.
1.1.3 Psikoterapi
Psikoterapi
merupakan satu proses yang lebih memberi penekanan kepada proses pemulihan yang
lebih kronik. Kaunselor memerlukan ilmu dan kemahiran yang lebih tinggi
dibanding dengan kaunseling. Malahan
psikoterapi ini jarang dikendalikan oleh
guru kaunseling kerana ia memerlukan seseorang yang mempunyai kepakaran dalam
bidang ini seperti seorang pakar psikiatris. Menurut Gladding (2004) psikoterapi adalah merupakan satu proses membantu
individu bermasalah psikologi yang lebih serius dalam jangka panjang.
Contoh kes yang menggunakan psikoterapi ialah merawat ‘kekeliruan dalam
pemikiran’
1.2 Matlamat Bimbingan dan Kaunseling
Perkhidmatan
Bimbingan dan Kaunseling yang ditawarkan mempunyai matlamat yang pelbagai bergantung
kepada bidang atau disiplin kaunseling. Perkhidmatan ini bergantung juga kepada
kategori perkhidmatan seperti perkhidmatan pencegahan atau menangani krisis.
Namun secara umumnya matlamat Bimbingan dan Kaunseling dapat diringkaskan
kepada lima matlamat iaitu:
1. Menjana tingkah laku positif. Kaunselor
dijangka dapat mengenalpasti tingkahlaku klien yang negatif. Sekiranya ini
berlaku, kaunselor dapat mencari alternatif penyelesaian agar tingkahlaku
negatif klien dapat ditukar kepada tingkahlaku yang positif. Kaunselor akan
berbincang dan sama-sama mencari alternatif yang sesuai dan dipersetujui oleh
klien untuk melakukan perubahan tersebut. Klien akan bertanggungjawab terhadap
pilihan tersebut walaupun dipersetujui bersama-sama.
2. Menjana hubungan yang positif. Melalui
proses kaunseling, klien diharap menguasai kemahiran berkomunikasi secara
berkesan untuk membina hubungan yang positif dengan persekitaran. Halangan
komunikasi biasanya mendatangkan masalah yang besar kepada klien apabila
berinteraksi dengan orang lain. Justeru itu, halangan-halangan ini akan
diminimakan agar klien dapat membina hubungan yang lebih baik dan berkesan.
3. Menjana kendiri efektif. Konsep
kendiri yang tinggi akan membuatkan individu lebih berfungsi dengan positif di
dalam masyarakat. Interaksi dengan ahli masyarakat dengan boleh menjadikan
individu ahli masyarakat yang positif. Penyelesaian masalah peribadi dan
menyesuaikan diri dengan keperluan persekitaran adalah matlamat dalam
perkhidmatan kaunseling kepada kliennya.
4. Membuat keputusan
rasional. Individu terdedah
untuk membuat keputusan pada setiap masa. Setiap keputusan akan mendedahkan
dengan risiko. Justeru itu, proses bimbingan dan kaunseling dijangka akan dapat
membantu seseorang itu dalam membuat keputusan
yang rasional dan bermakna. Keputusan tersebut dijangka akan memberi manfaat
dan kelebihan yang lebih baik kepada individu tersebut.
5. Pencapaian potensi diri. Melalui proses kaunseling, klien dijangkakan
akan mendapat menyedari kekuatan, kebolehan, bakat dan minat diri yang boleh
diperkembangkan untuk membina potensi diri ke tahap optima. Kesedaran ini dijangkakan akan diperolehi
oleh klien hasil daripada temubual dan perkongsian maklumat oleh klien bersama
kaunselor.
1.3 Prinsip & Falsafah Bimbingan dan
Kaunseling
Terdapat
prinsip dan falsafah yang menjadikan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling
sebagai satu perkhidmatan yang baik dan tersusun. Prinsip ini akan menjadi
dasar dan garis panduan kepada pemikiran atau tindakan para pengamal kaunseling.
Banyak prinsip dan falsafah bimbingan dan kaunseling mengikut pandangan dan
pendapat pakar-pakar kaunseling.
McDaniel dan
Shaftel (1956), mengemukakan prinsip-prinsip utama kaunseling iaitu setiap
klien hendaklah diterima sebagai individu dan dilayan dengan baik. Layanan yang baik membawa maksud individu
tersebut perlu memperolehi layanan seperti orang lain yang memerlukan
pengiktirafan dan layanan selaras dengan keperluan seorang manusia. Ini juga
membawa maksud bahawa klien tidak boleh dilabel atau didiskriminasikan walaupun
klien datang datang keadaan apa sekali pun. Perbezaan bangsa, agama taraf
sosio-ekonomi tidak menjadikan klien dapat kategori yang beberza-beza.
Kaunselor haruslah menerima klien seperti yang apa yang sedang dihadapinya.
Mc Daniel
juga menegaskan perlunya satu perhubungan yang permisif di atara kaunselor dan
klien. Hubungan ini member hak kepada klien untuk menamatkan hubungan sekiranya
wujud sebab-sebab klien tidak lagi merasa selesa atau tidak memerlukan
perhidmatan kaunseling lagi. Di samping
itu, kaunselor tidak boleh menerapkan nilai dan ideanya kepada klien. Beliau
juga menegaskan perlunya kewujudan pemikiran
bersama di antara kaunselor dengan klien. Prinsip dan falsafah kaunseling juga
harus berlandaskan prinsip-prinsip
demokrasi.
Manakala
Patterson (1967) pula mengemukakan prinsip-prinsip kaunseling seperti
kaunseling ialah proses yang bertujuan untuk mempengaruhi perubahan tingkah
laku klien secara sukarela. Ini membawa erti bahawa perubahan tingkahlaku
adalah matlamat yang diberi fokus utama oleh kaunselor. Klien seharusnya
merubah daripada aspek tingkahlaku. Perubahan yang diharapkan harus berlaku
secara sukarela. Walau pun klien adalah klien yang dirujuk namun dengan proses
yang dilalui akan memungkinkan klien akan mengubah tingkahlaku secara sukarela.
Tambahnya
lagi kaunselor harus menjadi seorang pendengar yang baik. Semua yang diucapkan
oleh klien akan didengar oleh kaunselor. Mendengar adalah eleman penting dalam
proses kaunseling. Walau bagaimanapun aktiviti mendengar tidak membawa makna
proses kaunseling telah berlaku.
Prinsip lain
yang dikemukkan ialah mengiktiraf bahawa kaunselor ialah seseorang yang
sememangnya mempunyai ilmu dan kemahiran. Dengan ini kaunselor adalah seorang
yang mampu untuk membantu klien menyelesaikan masalah yang dihadapinya.
Kaunselor akan senantiasa mendengar dan
memahami klien sedaya upaya untuk memudahkan proses membantu ini berlaku dengan
berkesan.
Sementara Biasco,
F. (1966) mengemukakan prinsip-prinsip bahawa kaunseling bukan hanya untuk
mereka yang mempunyai masalah sahaja. Kaunseling terbuka kepada semua orang
yang memerlukannya.
1.
Bimbingan
dan kaunseling adalah untuk membantu klien memperolehi pengetahuan dan fahaman
diri. Melalui bimbingan dan kaunseling, klien akan mudah memahami mengenal dan
memahami diri sendiri. Proses kaunseling itu sendiri akan membawa klien kepada
realiti kehidupan sehingga klie mendapat celik akal untuk lebih mengerti dan
memahaminya.
2.
Kaunseling
adalah paling berkesan apabila dirancangkan secara sistematik dan teratur.
Kaunseling adalah satu bidang yang profesional dan dikendalikan oleh kaunselor
yanng berkelayakan dan bertauliah. Langkah dan proses yang dijalani adalah
bersistematik dan teratur. Ini akan memungkinkan keberkesanan proses kaunseling
yang dijalankan.
3.
Program
kaunseling akan lebih berkesan sekiranya terdapat kerjasamaa di antara
murid-murid, guru-guru, ibu bapa, pihak pentadbir dan kaunselor sekolah. Memandangkan
permasalahan yang dialami oleh klien sering berkaitan dengan orang-orang yang
berada di sekeliling kehidupannya, terdapat keperluan yang kuat untuk membina
kerjasama di kalangan mereka.
4.
Bimbingan
dan kauseling menitikberatkan perkembangan individu dari segi masa dan bidang. Kaunseling
bukan hanya terhad kepada penyelesaian masalah klien malahan ia dijangkakan
akan memperkembangkan banyak aspek dalam diri klien. Perkembangan yang diharapkan
ini akan menentukan masa untuk dicapai.
Begitu juga aspek dan bidang-bidang tertentu yang klien itu sendiri
setuju untuk memperkembangkannya.
Prinsip yang paling penting sewaktu
menjalankan aktiviti kaunseling ialah mengiktiraf bahawa semua manusia
mempunyai hargai diri. Pengiktirafan ini dilakukan kepada semua peringkat
manusia daripada kanak-kanak sehinggalah orang dewasa. Batasan juga tidak
terhad kepada pangkat, kedudukan, bangsa dan
kepercayaan dalam agama. Semua manusia ini perlu dihormati sebagai
seorang individu yang mempunyai harga diri.
Manusia juga mempunyai keunikan yang
tersendiri dan perlu diiktiraf. Plato pernah melontarkan pandangan bahawa
‘tiada duanya manusia yang sama’. Ini bererti tidak ada manusia yang sama dan
masing-masing mempunyai indentiti, personaliti, kebolehan, keupayaan dan
fahaman yang berbeza. Dengan perbezaan
inilah menjadi keunikan kepada kejadian manusia itu sendiri. Justeru di dalam
kaunseling, keunikan ini mendapat pengiktirafan iaitu kaunselor akan menerima
klien itu mengikut keunikan masing-masing.
Pengiktirafan juga berlaku di dalam
kaunseling iaitu tanpa ada kecuali, bahawa semua manusia sebenarnya cenderung
ke arah kesempurnaan kendiri. Semua manusia ingin meraih kejayaan dan
kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Kecemerlangan ini bertujuan untuk
mendapatkan kepuasan diri mengikuti kebolehan, bakat dan kemampuan
masing-masing. Oleh itu tidak ada manusia yang ingin gagal, kecewa atau
menderita dalam kehidupan. Sekiranya terdapat manusia yang tidak berjaya, susah
atau menderita adalah disebabkan faktor-faktor penyebab luaran yang telah
menganggu perjalanan kehidupan manusia menuju ke arah kesempurnaan.
Kaunseling juga percaya bahawa
manusia sebenarnya berkembang adalah kerana proses sosialisasi. Manusia sentiasa
bergerak dan berhubung di antara satu sama lain. Interasi yang berlaku ini
adalah merupakan salah satu proses pembelajaran yang memberi kesan kepada
individu itu berkembang dengan sempurna. Proses sosialisasi ini akan memberikan
kesan pertumbuhan dan perkembangan kepada individu berkenaan. Oleh itu manusia
tidak boleh mengasingkan diri untuk tidak bergaul dan berhubung sesama manusia.
Individu harus mempunyai kemahiran bersosial dan menyesuaikan diri dengan
masyarakat. Individu yang gagal akan mengakibatkan mereka terasing dan
seterusnya menimbulkan konflik diri.
1.4 Keperluan Bimbingan dan Kaunseling
Merujuk
kepada buku Panduan Perlaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling di sekolah
yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, program bimbingan
mempunyai beberapa objektif untuk memenuhi keperluan bimbingan dan kaunseling.
Antara keperluan bimbingan dan kaunseling adalah seperti berikut:
1.
Memberi
khidmat penyuburan dan pengayaan yang meliputi semua aspek perkembangan
murid-murid. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan peluang kemudahan dan
pengalaman yang sejajardengan kemampuan dan potensi murid.
2.
Menyediakan
khidmat pencegahan seperti menghindarkan murid-murid dari terlibat dalam
masalah disiplin tingkah laku yang tidak sopan, penyalah gunaan dadah dan
sebagainya.
3.
Menyediakan
perkhidmatan kaunseling krisis.
4.
Menyediakan
perkhidmatan pemulihan seperti membantu murid-murid mengatasi masalah dari segi
akademik, sosioemosi dan kerjaya.
fakta menarik yang perlu dibaca
BalasPadamterima kasih untuk perkongsian Dr. Perkongsian yang amat berguna.
BalasPadamSaya perlukn bantuan kaunseling untuk menyelesaikan masalah anak
BalasPadam