Halaman

Isnin, 18 Julai 2016

TEORI KERJAYA HOLLAND

TEORI PEMILIHAN KERJAYA HOLLAND

Teori Pemilihan Kerjaya Holland memberi fokus kepada trait personaliti dan banyak dipengaruhi oleh Teori Trait dan Faktor sebelum ini.  Teori ini juga pada dasarnya merupakan teori pendekatan struktur yang lebih menekankan aspek keselarasan antara personaliti dengan persekitaran, namun teori ini juga telah diperkembangan dalam aspek bagaimana personaliti terbentuk dan berkembang.

Menurut Holland (1985), teori ini dibentuk berasaskan kepada andaian bahawa minat vokasional adalah satu daripada aspek personaliti dan oleh yang demikian diskripsi mengenai minat individu juga menggambarkan minat seseorang. Trait-trait personaliti ini biasanya dikenalpasti melalui kecenderungan terhadap mata pelajaran sekolah, aktiviti-aktiviti rekreasi, hobi dan kerja.

Sementara itu minat vokasional pula boleh digambarkan sebagai ekspresi personaliti. Holland (1985) juga menyatakan bahawa Teori Pemilihan Kerjaya Holland boleh digunakan untuk memberikan penjelasan kepada tiga persoalan asas iaitu:

i.       Apakah trait personaliti dan persekitaran yang mendorong seseorang membuat  keputusan untuk menceburi sesuatu bidang pekerjaan.

ii.       Apakah ciri-ciri personal dan persekitaran yang menyebabkan kestabilan atau perubahan daripada segi aras dan kerja yang seseorang itu lakukan di sepanjang kehidupanya.

iii.         Apakah kaedah yang paling berkesan untuk memberi pertolongan kepada individu yang menghadapi masalah yang berkaitan dengan kerjaya.

Berdasarkan kepada tiga persoalan di atas, intipati kepada pemilihan kerjaya ialah ekspresi personaliti individu. Kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan kestabilan  adalah berkadar terus dengan keselarasan antara trait personaliti individu dengan kategori persekitaran di mana individu tersebut bekerja. Semakin tinggi darjah keselarasan antara trait personaliti dengan kategori persekitaran di mana individu tersebut bekerja maka semakin tinggi kepuasan kerja, pencapaian, produktiviti dan juga kestabilan.

Terdapat empat andaian dalam teori ini, iaitu:

i.       Individu dikategorikan kepada enam jenis personaliti iaitu:

·         Reaslistik (R)
·         Investigatif (I)
·         Artistik (A)
·         Sosial (S)
·         Enterprising (E)
·         Convensional (C).

Menurut Holland setiap jenis personaliti ini adalah terbentuk hasil daripada interaksi antara pelbagai desakan kebudayaan dan personal termasuklah rakan sebaya, pewarisan biologi, keluarga, kelas social, budaya dan persekitaran fizikal.

Hasil daripada interaksi ini iaitu antara individu dengan faktor-faktor tersebut akan menyebabkan individu akan menggemari sesuatu aktiviti.  Justeru individu akan terdorong untuk membina sifat tertentu yang seterusnya akan mendorongnya untuk berfikir, membuat tanggapan dan seterusnya bertingkah laku dengan cara yang tertentu.

ii.     Terdapat enam persekitaran iaitu:

·         Reaslistik (R)
·         Investigatif (I)
·         Artistik (A)
·         Sosial (S)
·         Enterprising (E)
·         Convensional (C).

Setiap persekitaran membentuk ciri-ciri pekerjaan yang tersendiri. Menurut Holland setiap persekitaran ini akan didominasikan oleh personaliti tertentu.

iii.      Individu akan mencari persekitaran-persekitaran yang memberi ruang dan juga peluang kepada mereka mengamalkan kemahiran-kemahiran dan kemampuannya.  Ia juga dijangka akan melahirkan sikap dan nilai-nilainya dan mengambil segala permasalahan dan peranan yang dipersetujui yang wujud dalam persekitaran tersebut.


iv.                Tingkah laku individu adalah ditentukan oleh interaksi antara personaliti dan persekitaran. Menurut Holland, sekiranya kita mengetahui pola personality individu dan pola persekitaranya maka secara prinsipnya kita boleh meramal beberapa perkara yang mungkin terjadi hasil daripada padanan tersebut. Ini termasuklah pemilihan kerjaya.

0 ulasan:

Catat Ulasan