Halaman

Isnin, 18 Julai 2016

PROSES DAN TEKNIK KAUNSELING MENGIKUT PSIKOANALISIS

Proses dan teknik kaunseling

Perkaitan bebas. Perkaitan bebas sebagai satu teknik berkehendakkan agar klien meluahkan apa sahaja yang terlintas dalam pemikirannya tanpa menapis susunan logik perbualannya dengan kaunselor. Teknik ini mula distrukturkan oleh Freud bagi tujuan mengingati semula pengalaman serta emosi yang lampau pernah dialami oleh klien. Kaunselor biasanya memberi satu sikap interaksi yang menggalakan supaya klien boleh bertindak secara bebas tentang perkara yang hendak diluahkan. Disebalik asas teknik ini adalah kefahaman bahawa dalam diri individu memang tersemat pendaman sebagai satu factor mekanisme bela diri. Tujuan perkaitan bebas adalah bagi melepaskan ke tahap sedar pendaman yang lama sehinga dapat diluahkan. Pendaman yang banyak tersimpan menjadi tekanan desakan diri. Sehingga pendaman tersebut dikeluarkan ke tahap sedar, kecondongan pendaman tersebut tidak boleh disesuaikan dengan alam realiti.

Transferens. Transferens diguna oleh kaunselor bagi memberi galakan kepada klien bahawa kaunselor sememangnya bersedia untuk memberi bantuan. Konsep transferens meletakkan klien dalam satu keadaan minda bahawa kaunselor sebenarnya adalah ibubapa atau orang signifikan lain dalam pengalaman hidupnya yang lampau. Dalam proses transferens, seorang klien itu akan menghidupkan semula tanpa disedari segala tingkahlaku patogeniknya kepada kaunselor. Keadaan ini sangat perlu difahami oleh kaunselor bagi menangani proses analisis dan pentafsiran mekanesime bela diri klien. 

Pentafsiran. Dalam proses kaunseling psikoanalisis, pentafsiran penting bagi menimbulkan wawasan psikologikal kepada diri klien. Transferens sahaja tidak mencukupi bagi mengerakkan klien ke arah kelegaan dan tingkahlaku yang baru. Analisis dan pentafsiran tentang mekanisme bela diri klien akan memudahkan klien memahami kerumitan yang sedang dihadapinya. Tugas kaunselor adalah untuk menjelmakan satu kartasis atau kelegaan dalaman yang boleh dinikmati klien. Pentafsiran dapat mengerakkan segala kefahaman superego yang lama kepada satu tahap kesedaran baru. Pengalaman dan kefahaman baru ini selanjutnya akan diganti dengan kesedaran ego baru dan bergerak ke arah penerimaan superego yang lebih sesuaidengan keadaan semasa sealiran dengan klien.

Dalam proses kaunseling secara psikoanalis ini berbagai rintangan mungkin akan timbul diantara interaksi kaunselor dengan klien. Pentafsiran yang dikemukakan oleh kaunselor tidak semestinya diterima oleh klien. Hasil pentafsiran mungkin menimbulkan satu reaksi kepincangan dan kaunselor wajar bersedia menerima hakikat bahawa tidak semua analisisnya mudah diperlakukan oleh klien. Apabila keadaan ini berlaku maka kaunselor wajar sedar bahawa klien mungkin berada dalam keadaan transferens dan menganggapnya sebagi orang signifikan yang pernah dialami dalam hidupnya yang lampau. Ada kalanya juga rintangan tidak semestinya berlaku hasil daripada proses transferens. Ada kemungkinan juga rintangan berlaku hasil dari satu penolakan sebenar pentafsiran yang diberi oleh kaunselor. Tanda seperti ini memberi isyarat bahawa klien belum bersedia untuk menyesuaikan dirinya dengan keadaan yang sebenar.

Othman mengingatkan bahawa kaunselor perlu faham bahawa dirinya juga terpengaruh dengan keadaan pemindahan persepsi minda terhadap kliennya. Keadaan tanpa disedari ini mengerakkan satu proses kaunter transferens. Fokus kaunselor terhadap klien seolah-olah sudah terpisah ke arah klien sebagi seorang yang biasa didekati dalam pengalaman kaunselor masa lampau. Kaunselor wajar dapat mengawal keadaan seperti ini dalam dirinya secara sedar dan cepat kembali kepada alam kaunseling.

0 ulasan:

Catat Ulasan